Friday, June 13, 2014

Sesuatu Yang Menghalang



Tanpa sengaja rasa yang kamu rasa/bakal rasa itu adalah mencintai kenalan sendiri. Kerana ada yang menggerakkan rasa itu sendiri. Tapi kamu punya bermacam halangan. Sehingga kamu sakit dalam diam perasaan.


Friday, June 6, 2014

Mungkin Sebuah Perjalanan

Menuliskan sesuatu. Sudah lama dahulu. Kalau dibilang-kira, akhir aku menulis di blog ini pada Ogos 2012. Pernah ada rasa yang datang menyapa sesekali -- dalam tahun tanpa menulis di sini. Cuma aku "nanti dulu" untuk seberapa banyak kali sapaan itu. Akhirnya, ini harinya aku mula menulis semula dalam blog -- mungkin. Mungkin bakal kerap atau mungkin cuma gitu-gitu.

Masih kekeringan atau sudah ketumpulan. tidak pasti. Tapi masih lagi mahu memberi dan berkongsi tentang banyak hal yang terjadi. Sebulan saja boleh berkongsi beratus – beribu cerita, inikan dua tahun. Wah lama..


Tapi mungkin tidak selama masa yang aku ambil untuk betul betul percaya yang aku boleh gunakan anugerah yang Tuhan hembuskan sedikit pada aku, untuk membiayai diri aku sendiri. Ya aku gunakan hasilnya untuk biaya hidup aku—walaupun sikit.  Hasil itu bukan pada wang jualannya tapi pada kepuasan aku sendiri. Kerana aku rasa puas itu adalah bila aku berkongsi apa yang aku rasa dan kamu dapat merasakan apa yang aku rasa.  Mungkin itu berkat  dari aku sabar, berfikir, bertanya pendapat dan cuba mendekati orang lain. Puas. Terima Kasih.

Teringat pula pada permulaan perkongsian aku buat ini. Dikenang semula sememangnya Lucu tentang itu dan ini. Dari beberapa penulisan puisi penulis-penulis hebat yang aku cuba belajar dengan meniru-nulis penulisan, sampai aku cuba-cuba menulis sendiri. Semestinya itu pada zaman aku Menengah Tinggi. Waktu itu juga aku belajar cari kenalan yan sama minat atau lebih kurang minatnya pada sastera, baik pada penulisan puisi, cerpen, novel mahupun krew krew pementasan teater. Sehinggakan tertubuh satu ‘badan rahsia’ yang berjaya mengeluarkan sebuah Zine. Berjaya. Sehingga taman persekolahan Menengah Tinggi.


Masuk ke alam Pengajian Tinggi. Tiada kenalan baru yang minatnya sama seperti aku. Mana mungkin Kejuruteraan Elektronik Data minatnya tertumpu pada sastera. Haruslah minatnya kea rah pengiraan matematik arus dan voltan, asas asas kejuruteraan dan seiringnya. Jadi aku hidup sendiri.  Tapi aku tetap menulis, sikit sikit. Jadilah.


Aku ubah daripada seorang penulis kepada pereka zine/buku. Tolong kenalan lama yang hasratnya untuk mempunyai sebuah zine/buku hasil penulisan mereka sendiri. Aku tolong. Sememangnya agak rumit untuk menyempurnakan sesuatu hal dan rancangan, walaupun sudah dirancang dengan betul. Pengalaman baru. Dan aku setuju untuk merasakannya.




Hampir hujung pengajian, aku kenal dengan seseorang, kenalan abangku. Atas perkenalan itu dia jadi kawan yang mungkin rapat – amat. Menjemput hadir ke acara kendalian kenalannya. Harus tahu, kenalannya itu adalah salah seorang pemuisi dan penulis lirik untuk lagu-lagunya sendiri. Kak Wani Ardy. Pemuisi yang dulu aku cuba cuba meniru-nulis penulisannya. Sekarang rapat dan lebih selesa memanggilnya Kak Wani daripada Miss Wani seperti panggilan diguna oleh pelajar-pelajarnya. Dalam acara itu juga aku terjumpa seorang pria; Mosyuki Borhan. Handsome. Tidak pelik kalau dia sentiasa dikerumuni peminat penulisannya yang rata-rata adalah perempuan. Oh ya, Penulisannya juga jadi rujukan dan bacaan aku untuk hari hari kedepan. Dua dua hebat. Memuji hebat juga aku ni ya. 

Dan dalam hujung pengajian aku juga, fikiran aku makin diracuni. Ternyata kenalan yang kita ada sekarang itu sangat mempengaruhi. Tanpa sedar, aku selongkar  di buku-buku  dan nota simpanan laptop aku,dan aku mula menyusun penulisan-penulisan aku yang sememangnya mentah itu untuk dijadikan zine—jauh sekali dianggap sebagai buku. 

Sering menghabiskan masa berfikir dan berbincang dengan sahabat rapat aku tentang hal ini sambil ngeteh di kedai mamak. Sehingga kami menjadi pelanggan tetapnya. Kiranya hampir setahun atau lebih untuk aku setuju membuatkannya. 



Zine #SindiketTentangRasa . Daripada 50 buah hingga ke entah berapa yang sudah aku keluarkan. Alhamdulillah. Niat aku masih tidak lari, untuk berkongsi. Tidak putus-putus. Tidak teragak-agak. 



Mungkin blog ini akan dijadikan tempat tempelan posting-posting penulisan aku selepas ini. Sebab aku rasa menjadi orang yang di belakang itu lagi seronok dari menjadi orang yang ditolak ke depan. Mungkin tidak semua akan faham maksudnya. Tapi  benar, melihat orang yang gembira hasil pertolongan kita itu bagi aku adalah juga satu kepuasan. Dalam semua hal yang terjadi atau yang kita inginkan itu akhirnya menemui kepuasan. Tanpa diduga.